MEI 2023

Sarawak Pamerkan Barangan Kraf Asli Di Minggu Kraf London 2023


SAMARAHAN: Sarawak akan  mempamerkan barangan hasil kraf asli pada acara Minggu Kraf London 2023 mulai 8 hingga 14 Mei ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, susulan penyertaan Malaysia pada acara itu di bawah naungan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Kita pamerkan barangan kraf kita, kerana kita adalah salah satu pengeluar kraf asli yang dikenali di dunia,"katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Rubiah Wang di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini.

Abang Johari berkata, beliau juga akan mengadakan lawatan ke London bermula esok sempena acara itu.

Selain acara itu, lawatannya ke London juga bagi  menghadiri mesyuarat di Universiti Oxford bersama Pusat Islam di sana.

"Kita akan mengadakan perundingan serta mesyuarat bersama Pusat Islam Oxford berhubung isu global yang dihadapi negara Islam,"tambahnya.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar antara yang menghadiri Rumah Terbuka Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Sumber dari : Jiwa Bakti